Permulaan hidup bermula apabila kita tahu bagaimana untuk menyusun langkah dan mengurus keperluan diri dari sudut jasmani dan rohani. Ketika itu, kita sudahpun berada di atas titian kehidupan di mana, kita akan berdepan situasi yang tenang, resah, bahagia, derita dan banyak lagi.
Maka, saat itu kita akan sedar sejauh mana kita mampu berdepan situasi itu, sama ada kuat atau lemah, kita puncanya.
Jadi, bagaimana untuk kita bersedia berdepan dengan pelbagai keadaan yang harus ditempuh supaya langkah kita terus lurus berjalan tegak mencapai impian dalam sebuah kehidupan sebelum tiba ke titik noktah?
Disebabkan itu, setiap daripada kita yang bergelar manusia, perlu ada pegangan. Berpegang pada takdir atau qada’ dan qadar kerana ia bukan saja sekadar perkataan yang terkandung dalam Rukun Iman yang wajib kita percaya tetapi ia adalah ikatan antara kita dan Pencipta.
Meletakkan kebergantungan hidup kepada Allah swt merupakan asas dalam kehidupan. Nampak sukar tetapi sekiranya kita berupaya meletakkan sepenuh hati pastinya perjalanan kehidupan akan lebih terususun dan indah.
Firman Allah SWT, maksudnya;
“Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa:" Susukanlah dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul Kami.” (al-Qasas, Ayat 7)
Menerusi maksud ayat tujuh Surah al-Qasas, ibrahnya iaitu pengajaran atau tauladan yang merangkumi erti sebenar meletakkan semua kepercayaan kepada Allah SWT. Berdamai dengan takdir Allah SWT. Walaupun sukar tetapi setiap kesakitan pasti mempunyai penawarnya.
Berdamai dengan takdir bukan bermaksud kita hanya menadah setiap ujian yang datang tetapi fahami setiap maksud ujian yang dilalui dengan melihat sacara tersirat di mana setiap apa yang terjadi ada ibrah dan hikmah seperti dijanjikan Allah swt.
Lihat saja firman Allah SWT di atas, di mana ibu Nabi Musa AS ditenangkan dari terus dilanda kerisauan di saat anaknya perlu dihanyutkan di Sungai yang deras. Begitulah perasaan seorang ibu yang mempunyai emosi bercampur -baur terutama apabila membabitkan anak-anak.
Namun, firman Allah SWT melalui surah al-Qasas ayat tujuh, ibu Nabi Musa AS diajak meraiakn ujian dengan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Allah SWT. Tanpa perlu bimbang, bersedih dan takut kerana Allah SWT yang meletakkan takdir setiap manusia itu malah Allah SWT juga yang memberi hikmah dan ibrah dalam setiap takdir ujian tersebut.
Oleh itu, selalu bersangka baik dengan Allah SWT supaya mengikuti setiap perintahNya tanpa sebarang persoalan. Usah bimbang, jangan bersedih dan tidak perlu takut denga napa yang sudah berlaku; sedang berlaku dan akan berlaku kerana pada penghujungnya Allah SWT akan membantu kita sebagai hamba yang disayangiNya, Insya-Allah.
Percaya, sekiranya kita letak kebergantungan hidup ini kepada Allah SWT, semuanya menjadi mudah. Paling penting dalam menyusun langkah-langkah kehidupan ini adalah jangan putus asa, berdoa, bertawakal dan selalu bersangka baik dengan apa saja yang Allah SWT coretkan buat kita sepanjang menjalani kehidupan ini.
Comments