Sesungguhnya, hanya Allah SWT sahaja yang tahu betapa kasih dan cintanya mommy dekat korang walaupun ada ketikanya korang dimarahi mommy. Leter, marah, rotan dan apa saja yang mommy buat itu semua adalah kebaikan untuk korang.
Bukan senang nak lahirkan anak soleh dan solehah dan bukan mudah nak lentur anak-anak untuk menjadi manusia yang punyai akhlak dan adab. Itulah doa dan impian mommy semoga Aniq, Ruhee dan Akif menjadi manusia yang memiliki Iman dan Taqwa, yang mempunyai adab dan pekerti dan yang bersandar kepada akal yang waras.
Andai kata satu hari nanti mommy pergi lebih awal, tak banyak mommy mohon berpeganglah dan berpautlah antara satu sama lain. Jadilah adik-beradik yang takkan berenggang dan bermuafakatlah sesama kalian sepanjang menempuh kehidupan. Kiranya ada yang tersasar, tegurlah dan bacalah kembali luahan hati mommy ini. Anggap saja ini adalah bingkisan cinta mommy.
Andai kata usia mommy panjang, biarlah mommy lihat yang indah antara kalian. Teguh bersama, saling sayang menyayangi, tidak menjauh dan selalu ada dalam susah dan senang. Hiduplah dengan baik sesama kita seperti yang kalian lihat dalam keluarga besar kita sama ada keluarga sebelah mommy mahupun daddy.
Buat anak-anak kacuk mommy, korang sangat bermakna buat diri ini, Terlalu bermakna. Mungkin korang tak faham hari ini tetapi Insya-Allah suatu masa korang akan faham. Doa mommy untuk korang bertiga takkan putus sampai akhir hayat mommy.
Jadilah insan yang terbaik dalam kalangan yang terbaik. Kejarlah dunia dan akhirat, kaya di dunia dan kaya di akhirat. Berkongsi rezeki yang ada, selalu ingat syurga dan neraka itu wujud. Susun kehidupan berpandukan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.
Jaga maruah diri, biar selalu mahal kerana mahal itu iman. Doa selalu semoga Allah SWT kurniakan Iman dan Taqwa dalam diri dan kekalkan istiqomah untuk diri kita semua. Insya-Allah.
Kasih sayang mommy sampai syurga untuk kalian dan abang/adik kalian, baby Muhammad yang sudahpun bermain di syurga Allah SWT.
-mommy-
Comments