Skip to main content

C H I N G U E



Mentari terik petang itu memberi rasa bahang. Rin dan Ira masih lagi duduk di bawah pokok kelapa melihat sawah terbentang luas. 

Rin dan Ira merupakan kawan baik sejak dari tadika lagi. Hubungan mereka tidak ubah seperti isi dan kuku. Tak pernah berpisah sejak dari zaman kanak-kanak hingga masing-masing tamat Sijil Pelajaran Malaysia.

Pertemuan dua gadis kampung itu mungkin menjadi pertemuan terakhir kerana Rin telah dipanggil untuk memasuki universiti esok. Malam ini Rin akan bertolak ke Kuala Lumpur, bermalam di rumah abangnya. 

“Ira, kau tak perlu sedih sebab aku yakin universiti pilihan kau akan panggil kau nanti. Lagipun buat masa ini kita boleh berhubung melalui panggilan telefon dan video,” ujar Rin sambil menggenggam jari-jemari Ira.

“Entahlah. Aku tak rasa aku dapat pergi. Keadaan kesihatan aku pun tak menentu ni,” Ira mendengus perlahan. 

“Jangan pasrah terlalu awal. Kau kena kuat. Penyakit kau bukan baru tadi kau dapat. Selama ni kau kuat. Aku ada dan akan selalu ada untuk kau,” pujuk Rin. 

Mereka berdua terus berborak, meluah rasa hati dan rindu sebelum berpisah. Begitulah akrabnya mereka. 

*

Hari ini, genap sebulan Rin di Kuala Lumpur. Memegang status mahasiswa di sebuah universiti tersohor membuatkan Rin sibuk memghadap buku ilmiah dan tugasan diberikan pensyarah. 

Bagaimanapun, setiap malam tanpa culas, Rin akan menghubungi sahabatnya bertanya khabar. Rindu Rin pada Ira tak pernah susut malah makin mekar mengalahkan pasangan bercinta. 

Mana tidaknya, Ira merupakan anak tunggal manakala Rin pula tiada adik-beradik perempuan. Disebabkan itu mereka rapat apatah lagi umur mereka sebaya. 

Ya, Ira masih di kampung. Kesihatannya tidak membenarkan Ira berenggang dengan ibu bapanya. Lebih-lebih lagi Ira perlu hadir ke hospital untuk membuat pemeriksaan lebih kerap. 

Tawaran universiti dengan kursus yang diminatinya, jurusan undang-undang terpaksa ditolak tanpa rela. Ira sedar, dia tidak akan mampu walaupun dia cukup kuat melawan penyakit yang dihidapinya sejak lahir itu. 

Penyakit jantung berlubang yang dihadapinya sejak lahir membantutkan impiannya untuk bergelar seorang peguam.

Penyakit kongenital ini berlaku semasa dalam proses pembentukan jantung di mana lubang 

tersebut terbentuk pada septum yang membahagikan ruang-ruang jantung manusia.

Jenis jantung berlubang yang dihidapi Ira ialah Atrial Septal Defect (ASD), iaitu lubang pada septum interatrium atau di antara atrium.

Rawatan paling utama adalah pembedahan. Buat masa ini Ira hanya dirawat menerusi pemeriksaan setiap bulan selain ubat-ubatan yang diberikan pihak hospital. 

Untuk menjalani pembedahan pula, Ira belum bersedia dan dia belum cukup kuat untuk berdepan sebarang risiko dan kemungkinan. Lagi pun baginya selagi Doktor Isya, pegawai perubatan yang merawatnya tidak memberi kata putus, dia akan berdiam. 

*

Minggu bertukar minggu, kini sudah lima bulan berlalu. Sepanjang waktu itu Rin ada pulang ke kampung empat kali ketika cuti semester. Dapatlah Rin menghabiskan masa bersama Ira. 

Pertemuan terakhir sebelum Rin pulang ke Kuala Lumpur, Rin sedar keadaan sahabatnya tidak sebaik dulu. Jelas kelihatan wajah Ira yang semakin pucat dan berat badan yang kian susut. 

“Kau ok tak Ira? Buatlah pembedahan tu,” pujuk Rin.

“Kalau boleh aku tak nak bedah tutup lubang tapi tukar jantung baharu terus. Mesti rasa segar,” Ira berseloroh. 

Rin tersentak dari lamunan, bunyi guruh mengejutkan dia. Tidak berapa lama kemudian, telefon bimbitnya berbunyi. Ibu Ira menelefonnya. 

“Apa????” 

Rin terus bersiap, mengambil beg dah berlari keluar dari asrama. Ira tenat. 

*

Kehidupan memang pelik. Takdir juga selalunya tidak masuk dek akal tetapi setiap takdir membuahkan hikmah yang paling indah. 

Ira akur dengan ketentuan takdir. Di sini, di universiti yang sama dengan sahabatnya Ira meneruskan perjanjian mereka. 

“Aku dan kau berjanji untuk bergelar peguam. Aku dan kau berjanji untuk bersama-sama menjalankan firma guaman milik kita dan hari ini aku berjanji bahawa semua janji-janji kita akan jadi kenyataan.”

Ira mengungkap kata-kata sambil merenung gambarnya bersama Rin ketika di kampung. Jari-jemari Ira menguis foto mereka berdua kemudian dirapatkan foto itu ke dada.

“Rin, kau sahabat paling sempurna. Kau pergi meninggalkan aku saat aku bertarung nyawa antara hidup dan mati. Bila aku sedar kau menjadi jiwa aku, nyawamu berdetak dalam diri ini. Terima  kasih sahabat.”


Tamat

-Alin Syukor-


#ceritapendekalin

#cerpen

Comments

Popular posts from this blog

Sedikit Tentang Dr Intan

Saja nak berkongsi pengalaman walaupun sudah empat bulan masa itu berlalu. Pengalaman melakukan pemeriksaan kandungan bersama Dr Norintan Zainal Shah iaitu Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi di Columbia Asia Hospital, Seremban 2. Rindu pula dengan Dr Intan yang peramah dan sangat teliti ketika memeriksa saya ketika mengandungkan Ruhee. Hehehe (nak jumpa kena mengandung lagi ler Azlin oiii) Bukan apa, ada kawan-kawan dan sepupu yang tanya mengenai beliau sebab ada di antara mereka tinggal berdekatan Seremban dan sedang mencari hospital bersalin. Jika masa Aniq saya melahirkannya di KPJ bersama Dr Kala (Salah seorang Gyene terbaik di KPJ), untuk Ruhee saya pilih Dr Intan sebab Dr Kala tak silap saya sudah berpindah ke Dubai. Dr Intan ni, dari pandangan saya seorang yang serius dan tak suka hal remeh temeh. Contohnya, masa mengandung dulu, bulan puasa, jadi beliau menggalakkan saya berpuasa sampai habis. Katanya, jangan tinggalkan puasa kalau pening sikit-sikit...

Mencari Yang Terbaik (PART 1)

Bila mengandung, perkara pertama yang terlintas dalam akal fikiran adalah di manakah hendak saya bawakan 'anak dalam perut' ini? Bawa ke mana? hehehe Buat pemeriksaan lanjut. Sama ada di hospital kerajaan ataupun swasta. Pengalaman saya sepanjang mengandungkan dua anakacuk saya :) 1. Muhammad Aniq Raheel Disahkan mengandungkan si kacak lagi menawan hati ini pada Julai 2009. Disebabkan saya baru setahun lebih bekerja, company tidak menangung bayaran pemeriksaan di hospital swasta *Mengikut syarat company hanya membayar selepas tiga tahun perkhidmatan* ... Tapi dah rezeki, takkan sebab tak bayar, tak nak mengandung! Demi penjagaan teliti, saya pergi KPJ Hospital (Atas nasihat kakak ipar) Saya pilih Dr Kala sebab Dr Islam yang ada hanya Dr Ishak (Saya tak mampu nak menahan rasa kalau Dr lelaki.. Harap maklum). Alhamdulillah, kandungan baik-baik saja ketika itu. Untuk menyedapkan hati saya ke Klinik Kesihatan Seremban. Di sana memang ramai, datang pagi balik petang. Yal...

Istanbul Aku Datang

Lamanya tak menonton filem Melayu sebab semua hampir sama saja jalan ceritanya. Tapi sebab si Rafidah punya skrip, Istanbul Aku Datang membuatkan hati melonjak untuk menontonnya. Tapi tonton di YouTube aje ler kan hehehe baru perasan, lama gak tak tonton filem kat wayang hmmm Istanbul Aku Datang- skrip dan plot cerita yang simple but nice. Istanbul Aku Datang! baru saja menyudahkannya. Garapan yang sangat menarik, lebih-lebih lagi berlatarkan kita Istanbul, Turki yang indah dan mempesonakan. Sambil menonton sambil melancong kiranya. Macam Pisau Cukur, sekali lagi Rafidah selaku penulis skrip sememangnya bijak menggarap isi cerita dan menyusun watak-watak untuk melakonkan skrip ciptaannya. Walaupun ada sedikit ke'Koreaan terutama dalam pemilihan watak utama (Lisa sbg Dian) yang comel, kelam kabut dan sedikit kelakar, memuaskan saya sebagai penonton. haha Korea juga!!! Mungkin dah taksub sangat dengan drama Korea kot... Apapun two thumbs for Istanbul Aku Datang ;0 Besttt sangat2 ...