Lumrah kehidupan, apa yang
kita inginkan tidak semestinya kita dapat. Apapun, mensyukuri apa saja yang
diberi oleh Nya sudah mencukupi kerana itu adalah yang terbaik untuk kita.
Zen melepaskan keluh-kesah
yang dipendam seorang diri. Menyesal? Mungkin ya dan mungkin tidak.
Dia sekadar menganggap antara dirinya dan Eva tiada jodoh. Cuma, bahagian paling pelik, apabila Eva adalah jodoh untuk sahabat baiknya, Adi.
“Adi, flight aku ke Australia minggu depan. Jadi tak dapatlah aku nak tengok BFF aku bersanding,” ujar Zen ketika minum petang bersama Adi di warong Mak Mah.
“Tak apalah, nak buat macam
mana. Lagipun kau bukan sengaja, ye tak?” Adi menduga.
Zen hanya gelak. Biar nampak
ceria di depan sahabatnya. Dia tidak mahu Adi tahu betapa retak berkecai hatinya
selepas gadis yang bertakhta di hati bukan miliknya.
'Cinta dalam diam. Akibatnya, merana sendiri.’ Detik hati Zen.
•
Berada jauh dari tempat asalnya membuatkan Zen seakan lupa dengan kesedihan lalu. Namun, kehadiran keping-keping gambar sekitar majlis persandingan Adi dan Eva menggamit kembali memori pedih itu.
Eva, seorang gadis ayu yang menjadi kegilaan budak-budak lelaki di kampungnya. Dia, Adi dan Eva berkawan sejak dari Tingkatan Satu selepas Eva berpindah di kampung mereka.
Siapa sangka hubungan mereka sebagai sahabat menimbulkan bibit kasih antara dia dan Eva. Malangnya, Eva langsung tidak mengetahuinya. Tepuk sebelah tangan mana ada rentak.
Elok saja dia mengumpul kekuatan untuk meluahkan rasa terpendam, Adi terlebih dahulu memulakan bicara. Harapannya punah.
Cuma, dia akui takdir
mungkin tidak memihak kepadanya ... untuk kisah cinta tetapi takdir memberi dia
peluang untuk merantau jauh membawa hati yang lara.
Menghabiskan waktu di dewan
kuliah dan tugasan universiti membuatkan Zen lupa sekejap tentang kesedihannya.
•
Zen meneruskan kehidupan
tahun demi tahun sehingga tanpa sedar hubungan antara dia, Adi dan Eva juga
semakin renggang. Tiada lagi bual bicara di ruang Whatsapp malah mereka tidak
lagi berhubung menerusi Skype selepas kali terakhir seminggu selepas mereka
bernikah.
Selepas hampir lima tahun di perantauan tanpa sekali pun pulang ke Malaysia, Zen akhirnya berdamai dengan hati dan perasaan diri.
Kepulangan Zen ke kampung halaman tiada siapa yang tahu termasuk ibu dan ayah. Memang sengaja tidak dikhabarkan. Tidak mahu orang tuanya bersusah payah
Doktor Zen, gelarannya kini.
Itulah cita-citanya sejak kecil. Mahu digelar sebagai doktor. Syukur, doa ibu
dan ayah serta usaha gigih membuahkan hasil.
•
Selapas sebulan berada di
kampung, barulah Zen tergerak untuk bertemu sahabat lamanya, Adi. Sepanjang di
kampung, dia terlalu sibuk dengan kerjaya yang baru dibinanya.
‘Tak ada pula ibu cerita
perkembangan si Adi dengan Eva. Senyap je. Entah, mungkin aku tak pernah
tanya.’ Kata-kata itu bermain di fikiran Zen.
Timbul juga rasa pelik bila
Adi pun tidak ke rumahnya. Mustahil Adi tidak tahu berita kepulangan dia.
Mungkin merpati dua sejoli itu sibuk. Entah-entah dah beranak-pinak. Sibuk
mengurus keluarga.
“Ibu, Zen nak ke rumah Pak
Abu. Lama tak jumpa Adi,” kata Zen sambil membelek wajahnya di cermin yang
digantung di dinding ruang tamu.
“Allah...” Ibunya seakan
terkejut.
“Kenapa bu?” Tanya Zen
sedikit cemas.
“Mari duduk sini. Tak
terfikir nak beritahu Zen selama ni sebab ibu sendiri pun dah lupa. Benda dah
lama...” Ibunya sebak.
Zen melabuhkan punggungnya
di sebelah ibunya. Sambil menggosok belakang ibunya, Zen cuba bertanya lagi,
“Apa yang berlaku bu?”
Lama ibunya memulakan
bicara. Sebak menyusul dalam setiap patah kata.
“Adi, Pak Abu dan Mak Som
dan meninggal. Kemalangan kereta,” jawab ibu Zen penuh hati-hari. Berat dugaan
anaknya.
“Ibu....”
“Ye, ibu dan semua orang dah
sepakat tak mahu beritahu Zen sebab waktu kemalangan berlaku Zen berada di
semester akhir. Tapi lama-kelamaan kisah itu dah ditelan masa hingga ibu pun
lupa nak beritahu selepas itu. Maafkan ibu..”
Luah Mak Tim sambil memegang
erat tangan anak lelakinya itu.
Zen hanya mampu menangis.
Tak tertanggung rasanya hiba di hati mengenangkan sahabat yang paling
disayanginya pergi tanpa sebarang pesan. Patutlah lama menyepi dari media
sosial.
‘Kenapa aku tak perasan
semuanya? Kenapa aku tak perasan...’
Hanya air mata menjadi
peneman Zen petang itu. Kaku dia mengenangkan sahabatnya yang telah tiada di
dunia ini.
Begitulah aturan takdir.
Walaupun pahit tetapi setiap pahitnya ada manisnya. Hikmah disebalik takdir
yang ramai tidak sedar sehingga hikmah itu sendiri terbit di depan mata.
Satu ketika dulu takdir Zen
memberi duka padanya. Tetapi dia reda dengan ketentuan walaupun jiwanya penuh
dengan calar dan parah.
Zen ubati sendiri setiap
luka yang diciptanya. Tidak pernah dia menyalahkan sesiapa kerana takdir itu
kerana yang silap adalah dirinya.
Realitinya, dia lambat
bertindak tetapi suratannya itulah perjalanan takdir.
•
Hari ini, Zen dengan sepenuh
jiwa dan raganya menerima Eva sebagai suri hati sepenuh masa.
Eva bagaikan ‘chueok’
terindah dalam hidupnya. Setiap jalan cerita cinta Zen terhadap Eva adalah
paling istimewa.
Zen menerima Eva seadanya
walaupun wanita itu kini hilang penglihatan dunia tetapi Zen yakin mata hatinya
tetap celik.
Celik dengan cinta Zen dan
kerana itu Eva akhirnya menerima lamaran Zen selepas beberapa kali cuba menjauhkan
diri daripada Zen.
Kemalangan ngeri beberapa
tahun lalu bukan saja meragut nyawa Adi, Pak Abu dan Mak Som tetapi turut
meragut janin dalam kandungan Eva serta mata suri hatinya itu.
‘Adi, aku akan menjaga Eva
bukan kerana cinta aku padanya tidak pernah padam tetapi cinta kau padanya
membuatkan rasa cinta aku yang pernah malap kini mekar kembali. InshaaAllah,
selagi adanya aku, akan aku semai rasa cinta ini untuk Eva. Sampai bila-bila’.
Bisik Zen dalam hatinya sambil sepasang matanya menatap wajah si isteri yang tidak pernah lokek dengan senyuman paling manis untuknya.
Comments