Kadang-kadang aku teringat zaman dulu. Zaman bila nak minat seseorang pun kena ada usaha. Nak tengok muka artis kesayangan, kena tunggu majalah keluar. Lepas tu bermulalah misi hunting majalah; masuk kedai, selak satu-satu, belek setiap halaman kemudian berharap ada gambar artis yang kita suka.
Bila jumpa, terus rasa macam dapat hadiah besar. Lepas tu ada pula kad artis. Sanggup longgok duit nak beli kad ada muka artis yang kita minat. Beli dan simpan dalam card holder, buat macam album. Bila free kita buka tengok sambil senyum.
Paling seronok bila jumpa kawan yang sama-sama kaki kumpul kad dan keratan majalah.
“Eh, kau ada kad dia tak?”
“Ada. Tapi aku nak yang tu.”
“Okay, aku bagi dua kad aku.”
Maka bermulalah sesi tukar-menukar kad dan gambar dari majalah. Semua kad dan makalah dikeluarkan atas meja. Susun satu-satu. Tengok mana yang duplicate dan mana yang belum ada. Bila berjaya dapat, hati bukan main puas. Macam baru menang hadiah besar.
Projek paling penting scrapbook.
Gunting gambar dari majalah. Potong perlahan-lahan supaya tak senget. Tampal dengan gam. Hias dengan sticker. Tulis nama artis. Susun ikut drama, ikut zaman, ikut siapa yang paling kita suka. Kadang-kadang gambar berkedut. Gam terlebih. Potongan pun tak berapa cantik. Tapi kita tetap sayang sebab itu hasil tangan kita.
Sekarang bila difikirkan semula, semuanya nampak kecil.
Sekeping kad.
Sekeping gambar.
Sebuah majalah.
Sebuah scrapbook.
Tapi waktu itu, benda-benda kecil itulah yang membuatkan hari-hari kita terasa begitu seronok.
Sekarang semuanya sudah berubah.
Gambar artis ada di hujung jari. Video boleh ditonton bila-bila masa. Tak perlu lagi menunggu majalah keluar. Tak perlu lagi mencari kedai. Tak perlu lagi bertukar kad dengan kawan.
Hari ini, mungkin kerana semuanya terlalu mudah sekarang, kita tak lagi merasai debar yang sama seperti dulu. Scrapbook pun sudah tiada. Kad-kad yang pernah kita sayang pun entah ke mana. Majalah-majalah lama akhirnya dibuang.
Kawan-kawan yang dulu duduk bersama-sama bertukar kad, mungkin sekarang sudah sibuk dengan kehidupan masing-masing. Namun sesekali, bila kenangan itu datang kembali, aku sedar satu perkara.Yang hilang sebenarnya bukan kad-kad itu. Bukan majalah-majalah itu. Cuma, yang kita rindukan ialah diri kita yang pernah begitu bahagia kerana perkara-perkara kecil.
Diri kita yang sanggup mencari satu gambar sampai puas malah begitu gembira bila berjaya mendapatkan kad dan keratan gambar artis yang kita minati. Kita pernah percaya sebuah scrapbook kecil mampu menyimpan seluruh dunia. Kita mungkin sudah jauh meninggalkan zaman itu. Kita sudah dewasa. Sudah melalui macam-macam.
Sudah belajar bahawa hidup bukan lagi tentang siapa artis yang kita minat atau berapa banyak kad yang kita berjaya kumpul. Tapi jauh di sudut hati… masih ada seorang gadis kecil yang belum hilang. Gadis yang pernah duduk dengan majalah di tangan, kad-kad tersusun di depan mata sambil tersenyum puas kerana akhirnya mendapat gambar yang dia cari.
Malah, mungkin itulah sebabnya kenangan itu masih terasa begitu dekat walaupun masa sudah membawa kita jauh… terlalu jauh.
Sebahagian daripada diri kita masih tertinggal di sana di zaman yang sederhana, di antara helaian majalah, sekeping kad, gelak tawa seorang kawan dan sebuah scrapbook yang kini hanya tinggal dalam ingatan.
Kalau suatu hari nanti kita terlupa betapa jauhnya kita sudah berjalan, semoga kenangan itu datang mengetuk perlahan. Bukan untuk membawa kita kembali ke masa lalu, tetapi untuk mengingatkan kita bahawa kita pernah menjadi begitu bahagia.
Itu sudah cukup kerana ada kenangan yang tak perlu disimpan dalam kotak untuk kekal abadi.
Cukup disimpan dalam hati. ❤️
-Alin Syukor-
Comments