“Sepuluh tahun,” bisik Irah perlahan sambil menatap skrin komputernya.
Akim.
Nama itu muncul semula di hadapan matanya. Entah kenapa, laju saja jari-jemarinya menaip di petak mesej, bertanya khabar sebagai permulaan bicara.
Sapaan Irah disambut. Jantungnya berdegup tidak sekata. Diam-diam hampir setengah jam mereka berbalas mesej di muka buku.
“Kalaulah kita tak terserempak tempoh hari?” ungkap Irah sendirian, cuba menenangkan hati yang tiba-tiba berkecamuk.
Benar. Sebelum Irah menaip nama Akim di ruang carian, mereka pernah terserempak. Sekadar berbalas pandangan. Itulah pertemuan pertama mereka selepas sepuluh tahun berlalu.
Mereka berpisah tanpa noktah. Tanpa penjelasan yang sempurna.
Pertemuan pertama mereka suatu ketika dahulu masih jelas dalam ingatan. Akim lelaki pertama memerangkap hatinya selepas sekian lama. Ya, dialah juara sosok yang tidak bercinta sepanjang enam tahun di universiti.
Kehadiran Akim mengubah warna hatinya. Senyuman Akim, nada suaranya, semuanya terasa terlalu dekat walaupun masa telah lama memisahkan.
“Irah, saya tiada apa-apa nak dibandingkan Abid. Dia ada semua dan awak sendiri dah terikat dengannya.”
Kata-kata Akim itu terngiang sebelum segalanya berubah dalam sekelip mata.
Cinta yang baru mula berputik akhirnya layu. Bukan kerana tiada perasaan, tetapi kerana Abid. Pertemuannya dengan Akim ketika dirinya bagaikan berada di persimpangan.
Abid hadir lebih awal dalam hidup Irah. Terlalu banyak jasa dan pertolongan yang dihulur tanpa pernah diminta. Namun Irah tahu, perasaannya terhadap Abid tidak pernah bernama cinta.
“Biar aku simpan kenapa aku pilih Abid?”
Irah menangis di depan skrin komputernya dengan nada yang sarat kecewa.
Hakikat yang paling Irah takuti ialah hatinya telah lama terisi. Sejak pertemuan pertama dengan Akim, lelaki yang wajahnya persis Seung Heon itu telah menetap tanpa izin.
*****
Pertemuan di muka buku menjadi langkah awal mereka bertukar nombor telefon. Tidak sampai 24 jam, Irah menerima mesej daripada Akim.
Jarinya menggigil ketika menekan butang accept.
“Assalamualaikum, Irah.”
Irah menarik nafas panjang sebelum membalas.
“Waalaikumsalam… lama kita tak jumpa.”
“Sepuluh tahun,” balas Akim.
“Dan aku masih di tempat yang sama.”
Air mata Irah jatuh tanpa disedari. Rupanya, ada perpisahan yang tidak pernah benar-benar berakhir.
Malam itu, mereka sepakat untuk bertemu. Bukan untuk menghidupkan yang lama tetapi untuk merungkaikan takdir yang pernah memisahkan mereka tanpa penjelasan.
*****
Mereka memilih sebuah kafe kecil yang tenang. Tidak terlalu sunyi, tidak terlalu bising. Cukup sekadar tempat yang membenarkan dua hati lama duduk berhadapan tanpa terlalu banyak mata memerhati.
Akim tiba lebih awal. Masih dengan senyuman yang sama, cuma garis di wajahnya kini lebih jelas.
Irah berhenti melangkah seketika sebelum menghampiri.
“Assalamualaikum,” sapa Irah perlahan.
“Waalaikumsalam,” jawab Akim.
“Terima kasih sebab sudi jumpa.”
Mereka duduk. Tiada kata untuk beberapa detik. Hanya bunyi sudu menyentuh cawan dan degup jantung yang masing-masing cuba sembunyikan.
“Saya selalu tertanya,” ujar Irah akhirnya.
“Kenapa awak hilang.”
Akim menunduk. Nafasnya berat.
“Malam aku mesej kau nak jumpa di rumah kau…” Akim berhenti seketika.
“Abid datang jumpa aku dulu.”
Irah tersentak. Tangannya menggenggam cawan lebih kuat.
“Dia kata apa?” soal Irah, hampir berbisik.
“Dia tak marah. Tak ugut,” jawab Akim.
“Cuma dia cerita tentang pengorbanannya. Tentang bagaimana saya cuma persinggahan. Tentang bagaimana hidup saya akan susah jik terus dekat dengan awak.”
Irah memejam mata. Segalanya mula bercantum. Setiap diam, setiap kekosongan, setiap persoalan yang tidak pernah terjawab.
“Dan awak percaya?” suara Irah bergetar.
“Saya sedar saya terlalu jauh untuk dibandingkan dengannya. Sebab saya sayangkan awak, saya pergi,” jawab Akim jujur.
“Saya fikir, kalau saya pergi, hidup awak akan lebih tenang.”
Sunyi kembali menyapa. Kali ini, tiada air mata. Hanya sebak yang sudah terlalu lama dipendam sehingga ia tidak tahu lagi bagaimana hendak mengalir.
“Saya tunggu awak,” kata Irah perlahan.
“Tapi takdir tak tunggu saya.”
Akim mengangguk.
“Saya tahu. Dan saya tak pernah salahkan awak.”
Irah memandang tepat ke mata Akim.
“Saya pun tak salahkan awak. Walaupun hingga hari ini saya tak tahu macam mana Abid boleh temui saya selepas pergi tinggalkan dia.”
Irah tersenyum kecil. Senyuman yang tidak lagi mengharap, hanya mengakui.
“Kita berpisah bukan sebab kita tak saling mencintai,” ujar Irah.
“Tapi sebab terlalu banyak perkara yang tak boleh berpatah semula.”
“Dan jawapan itu,” sambung Akim,
“biarlah kekal jadi begitu.”
Mereka saling berpandangan. Tidak lagi dengan mata yang meminta tetapi mata yang memahami perjalanan takdir.
*****
Sejak pertemuan itu, mereka kekal berkawan. Bertanya khabar sekadarnya. Menghormati jarak yang seadanya.
Sehinggalah suatu ketika, masing-masing memilih untuk membawa haluan demi kehidupan yang lebih harmoni.
Tidak lagi mengungkit.
Tidak lagi mengenang.
Hakikatnya, kerana pertemuan kembali itulah Irah akhirnya mengetahui tentang Abid mencarinya dan menjadi takdirnya hari ini.
Bagi Irah, biarlah cinta dan kasih itu tersimpan jauh di sudut hati. Bukan untuk dimiliki, tetapi untuk dikenang sebagai sesuatu yang pernah indah.
Di suatu malam yang tenang, Irah menutup komputer ribanya dan berbisik sendirian,
“Terima kasih Akim… kerana pernah hadir. Pergi. Hadir lagi dan pergi buat kali terakhir bersama memori paling indah.”
Irah mengerti bahawa takdir tidak menyebelahi mereka. Namun takdir tetap memberi mereka kebenaran yang lama tersimpan.
Dan itu sudah cukup.
Ends…
-Alin Syukor-
#ceritapendek #cerpen #ceritapendekalin
Comments