Menjadi ibu yang bekerja bukan sesuatu yang 'kacang' atau mudah kerana berpikul tanggungjawab diletakkan di atas bahu. Jika hendak bercakap tentang letih, memang letih tetapi kerana niat mahu membantu keluarga dan demi kelangsungan hidup, setiap liku dilalui dengan tabah.Cuma kadangkala, tidak perlu nak minta orang faham apa yang kita lalui setiap saat. TIDAK PERLU.
Sebabnya mudah, tidak semua akan faham. Andainya faham, alhamdulillah. Tetapi bagi yang tidak pernah mengerti, abaikan sebab tak nak stress. Kisah hidup saya tidak sempurna dan mana mungkin untuk kita mencapai kesempurnaan sekiranya kita hanya manusia biasa. Hanya Muhammad Ya Rasulullah saja maksum sifatnya dunia akhirat.
Siapa sangka 2018 adalah tahun ke-10 saya dalam bidang ini. Siapa sangka, saya masih kekal di sini waima ramai sahabat yang sama batch sudah melangkah pergi. Keluar dari bangunan ini dan salah seorangnya adalah kakak paling saya sayang, pergi buat selama-lamanya selepas hampir genap 10 tahun kami di sini.
Walaupun barangkali kita tidak memilih untuk kehidupan ini tetapi kehidupan ini telah pun memilih kita sehingga sampai satu detik, kita mengundur diri, diundurkan atau hingga dijemput Ilahi. Selagi itu, hiduplah dengan percaturan sama ada bahagia mahu pun derita.
Berbalik dengan kisah ibu bekerjaya ini, ia juga ujian dan ujian seumpama ini tentunya Allah berikan kepada hamba yang Dia rasa kuat menempuhinya. Mungkin saja saya salah seorang daripada penerima ujian Pencipta. Saya tidak kata saya kuat tetapi saya perlu kuat kerana kuat perlu ada untuk hidup.
Keletihan tahap maksima kadang-kadang membuatkan diri selalu tertekan. Pendekatan yang saya ambil, lupakan pekerjaan sebaik saja kerja yang diamanahkan selesai dan pulang saja ke rumah tatkala tiada lagi kerja yang perlu dibuat di pejabat. Sekurang-kurangnya, niat saya mahu berjemaah dengan suami dan anak-anak, Maghrib ini. Nampak poyokan? Tetapi dengan cara itu, Allah selalu sediakan lorong untuk mempermudahkan urusan saya. Walaupun akhirnya, sampai rumah pun Maghrib dah lepas. Yang penting nawaitu.Ya, nawaitu. Nawaitu yang baik dah dapat pahala, jika diteruskan berganda ganjaran.
Masa 24 jam itu diikutkan tidak banyak mana. hanya 12 jam siang dan hanya waktu itu saja untuk saya sebagai ibu dan pekerja selesaikan tanggungjawab harian. Tak mahu hilang kerja dan dari satu sudut tak mahu hilang masa dengan anak-anak terutama yang masih kecil. Tanpa sedar mereka sebenarnya perlukan perhatian ibu-bapa. AMAT PERLU NOKTAH
Ye, bersyukurlah kerana punyai masa 24 jam itu. Gunalah sebaiknya. Tepuk dada tanya hati. Amalan apa yang kita bawa. Kalau kebanyakan sektor kerajaan dan swasta melayangkan kata-kata amalan terbaik industri, jadi kita sebagai manusia pun perlu buat benda sama demi kesejahteraan diri dan keluarga serta kerjaya. InshaaAllah.
Super mommy,
A.S
Comments