Pagi yang redup. Aku hanya mahu berseorangan. Tanpa siapa-siapa. Menghirup kopi kegemaran seorang diri. Walaupun sepi, aku tenang. Ya, kadangkala aku perlukan ketenangan. Jauh dari hiruk-pikuk kota. Tidak mahu layan manusia keliling. Aku mahu rehat dari dunia yang sibuk.
Tetapi aku juga benci dengan kesepian. Setiap kali mahu berseorangan pasti semua cerita dari hati terlontar di fikiran. Tidak pernah lupa dan tidak akan lupa. Biarlah apapun mereka mahu cakapkan, kerana itu hak aku untuk mengingatinya. Detik kehidupan yang aku sendiri alami. Hidup ini sukar namun berdepan dengan kematian lebih sukar.
Hidup aku tidak sempurna mana. Banyak sudah aku lalui. Sama ada aku luahkan atau aku pendamkan saja sampai mati. Tidak semua boleh aku kisahkan di layar.
Bukan mahu membangkit tetapi ada ketikanya aku berkongsi kerana mahu berkongsi. Mungkin saja boleh dijadikan pengajaran bagi sesiapa saja. Kita melalui hidup berbeza maka berkongsi cerita itu tidak salah. Ambil yang jernih dan keruh jadikan pedoman.
Bercerita tentang pengorbanan, dalam hidup aku sendiri pun terlalu banyak sudah aku korbankan. Barangkali kelahiran aku ditetapkan begitu. Tidak pernah kisah cuma ada waktunya aku kecewa terutama saat pengorbanan aku tidak dihargai. Sekali lagi, aku pendam, simpan dalam hati.
Hati aku kian sarat. Sarat dengan pelbagai rasa. Tetapi aku mahu bahagia dalam kehidupan ini sebab takkan ada kehidupan kedua kecuali akhirat. Kerana itu, aku mahu selalu ukir senyuman di bibir walaupun hati aku berat dengan bermacam perasaan. Campur-baur.
Dan inilah aku. Kejadian aku. Tuhan ciptakan manusia untuk menempuh dugaan dan ujian Nya. Melihat bagaimana hamba Nya berdepan dengan masalah dan melawan dengan sabar dan senyuman. Oleh itu, senyumlah sahabat, moga akan terbit tenang di hatimu walaupun ia penuh dengan calar duka. Begitulah kata temanku yang tersimpan rapi.
Menginjak usia 33 tahun, aku masih mencari bahagia. Aku cuba bina bahagia kerana aku mengerti hidup terlalu singkat untuk aku biarkan ia melara. Walaupun aku tidak menggenggam anganku, keinginanku waima kegembiraanku, aku mahu bahagia dengan apa yang dibentangkan di depan mata.
Ya, walaupun dia tidak pernah cuba mengerti emosi dan kemahuanku, aku akur kerana aku diciptakan untuk berkorban. Tidak semua manusia bertuah dan tidak semua manusia tidak bertuah seperti aku. Noktah
Comments