Menanti perkhabaran MH370 bukanlah satu pilihan paling mudah untuk dipilih kerana pilihan ini memerlukan ketabahan dan keyakinan diri terhadap Pencipta. Boeing 777 ciptaan teragung manusia adalah fakta. Jelas menunjukkan kehebatannya di ruang udara malah menjadi ciptaan terhebat seterusnya pelopor dalam pembinaan kapal terbang.
Namun, sebagai manusia, kembali ke fitrah bahawa ciptaan teragung adalah ciptaan Ilahi yang tiada tolok banding. Mungkin kita sebagai manusia lupa tentang itu. Terkhilaf tatkala kejayaan diraih. Alpa untuk sujud kepada Nya apabila kecemerlangan di dunia digapai dan dikecap sampai ke langit yang tujuh.
Lupakan tentang itu. Kerana pasti satu hari yang tidak tahu bila, MH370 akan ditemui. Teruskan tunduk kepada kekuatan dan kekuasaan yang sedang ditayangkan sendiri oleh Pencipta kita dan alam semesta ini. Renung dan tenung apa sebenarnya yang sedang berlaku bukan menuding jari ke sana sini kerana empat jari jemari yang lain sedang bersepakat menunjuk ke arah kita - manusia biasa juga.
Hendak bercerita tentang psikologi secara dasar bukan mendalam kerana saya bukan pakar cuma sekadar berkongsi pendapat yang tak sebarapa melalui pembacaan dan penelitian rambang.
Dalam mententeramkan keluarga mangsa (penumpang dan kru) yang berada dalam MH370 bukan satu pekerjaan yang mudah tetapi memerlukan kebijaksanaan terutama bagaimana untuk menanganai kesedihan terlampau mereka!
Dari sudut logik dalam psikolog, kata-kata seperti sabar dengan ujian Allah, InshaaAllah semua akan selamat dan terima Qada dan Qadar itu bukanlah kata-kata penenang yang sejati.
Semua orang tahu tentang istilah itu dan pastinya mereka mengguna pakai dan sedang mengaplikasi kata-kata itu kepada diri sendiri dan keluarga terdekat.
Kata-kata itu yang datangnya dari kita yang tiada hubungan kekeluargaan barangkali menimbulkan kacau bilau dalam diri mereka atau gangguan emosi dan mental. Jangan sampai mereka ungkap "Aku tahu semua itu, dan engkau juga. Aku tidak perlu kata-kata pendorong sekarang! Kau mengganggu emosi dan ia tidak membantu!"
Jadi, apakah frasa manis yang wajar dituturkan? Bagaimana cara untuk bersemuka dengan mereka yang berada dalam ketidakstabilan emosi? Sukar untuk dibayangkan.
Secara logik psikologi juga, jika kita lihat, dalam menangani permasalahan seperti ini, cara termudah mendekati mereka ialah dengan senyuman paling ikhlas bukan dibuat-buat.
Senyuman yang lahir dari hati dan mempunyai rasa empati terhadap keluarga mangsa tersebut. Lalu peluklah dan dakaplah mereka dengan penuh ikhlas tanpa perlu menyebut patah kata yang boleh mengguris hati mereka kerana :-
1) Ketika ini mereka dan keadaan tidak berada dalam "semua akan OK"
2) Mereka sedang bersabar dan bertabah ketika ini dan sepanjang masa yang telah dan akan dilalui
3) Mereka tahu tentang takdir penentu segalanya.
Tunggu saja luahan hati mereka dengan memegang erat tangan mereka. Memberi kehangatan paling bermakna tanpa perlu menyebut patah kata. Cuba rasai keperitan hati mereka. Jangan terus mendesak kerana mereka perlukan waktu untuk mententeramkan jiwa yang bergelora.
Secara logik psikologi, psikologi kognitif merupakan satu cabang psikologi dengan pendekatan kognitif bagi memahani perilaku manusia. Psikologi kognitif adalah cara mempelajari tentang manusia menerima, mempersepsi, mempelajari, menalar, mengingat dan berpikir tentang suatu informasi.
Justeru, gunakan kaedah tersebut untuk mendekatkan diri dengan mereka dengan dimulai dengan senyuman dan dakapan erat. Pasti, tanpa perlu menyusun patah kata, mereka yang sedang berada dalam keadaan murung ini akan mencari medan untuk meluahkan rasa terbuku.
Jika perlu, mulakan perbualan anda tentang keadaan semasa yang biasa-biasa. Usah beri pengharapan palsu dan jangan memberi kata semangat yang mana mereka tahu ia hanyalah sia-sia.
Sebagai hamba Nya, kembali kepada jalan Nya, perintah Nya dan Quran Nya. Kerana di situ ada janji Nya. Janji yang membawa kepada kepastian. Janji yang ada tersurat dan tersiratnya. Janji yang membawa haluan dunia sampai ke destinasi teakhir kita.
Yakin pada Nya. Itu sudah mencukupi ....
~~~ Miracle! Keajaiban! Itu saja yang dapat dititipkan dengan jutaan rangkaian doa daripada mereka beriman, mereka yang ditimpa masalah dan dari semua manusia ciptaan Nya.... Kembali kepada fitrah ~~~
Comments