Tok Mat dalam kenangan
Pertama kali bertemu dengan Dato’ Seri Mohamad Hj Hasan atau lebih popular dengan gelaran Tok Mat pada sekitar tahun 2004/2005. Ketika itu beliau baru saja menjawat jawatan sebagai Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan.
Ketika itu juga saya bersama dua lagi sahabat sedang menjalani latihan amali di RTM Negeri Sembilan.
Pertemuan pertama antara saya dan MB ketika menghadiri sidang akhbar diadakan beliau di pejabatnya. Teruja sangat sebab pertama kali dalam hidup dapat bertemu MB. Jawatan tertinggi dalam kerajaan negeri.
Seingat saya sidang media itu diadakan dalam sebuah bilik bersama rakan media lain dan sementara menanti ketibaan MB, kami berborak dan bila mana MB melangkah masuk semua diam.
Hati sudahpun berdebar apatah lagi keadaan bising tadi jadi sunyi. Garang ke beliau? Jangkaan saya meleset bila MB mula beri salam dan mengukir senyuman.
Senior RTM yang membawa kami turut memperkenalkan kami bertiga kepada MB. Sempat beliau beramah mesra bertanya dari universiti mana, jurusan apa dan lain-lain.
Kemudian kali kedua bertemu MB pada tahun sama ketika menghadiri majlis berbuka puasa di kediaman rasmi MB Negeri Sembilan. Seronok sebab rasa macam mimpi dapat menjamu selera di rumah MB pakej dengan solat terawikh.
Bermula detik itu sehingga tahun lalu, kediaman rasmi beliau akan saya kunjungi bersama suami dan anak-anak setiap kali Ramadan tiba. Siapa sangka, jodoh saya pun Allah ketemukan dalam bilik berlangsungnya sidang media rupanya.
Berbalik kepada kenangan bersama MB, selepas tamat latihan amali, saya kembali ke universiti dan selepas tamat pengajian, saya memulakan kerjaya sebagai wartawan sambilan di NSTP Seremban pada akhir 2007.
Dari situ saya kerap bertemu MB di majlis-majlis yang dihadirinya dan mula kenal personaliti beliau sebagai tokoh korporat yang disegani malah sangat berkaliber. Beliau dikenali sebagai seorang yang tegas dan berani menyuarakan pendapat.
Dari satu sudut, terdetik beliau bukan saja mempunyai personaliti yang segak tetapi seorang yang cerdik dan sangat sederhana. Pada awal 2008 saya menerima tawaran pekerjaan tetap di Balai Berita Bangsar. Tetapi dalam masa tiga hingga empat bulan bekerja di Seremban, cukup untuk saya mengagumi beliau sebagai seorang MB.
Datin Seri juga begitu. Walaupun beliau adalah wanita pertama di Negeri Sembilan, sifat dan sikap beliau sangat saya kagumi sehingga hari ini malah sehingga 9 Mei 2018, pasangan ini tidak pernah timbulkan sebarang isu kepada rakyat apatah lagi dalam karier politiknya.
Sejak berkahwin pada 2008 sehingga kini, saya dan keluarga sering dijemput secara peribadi oleh MB ke majlis berbuka puasa mahu pun rumah terbuka beliau. Barangkali, beliau juga yang banyak membantu ketika suami ingin kembali kepada Islam. Membantu dari segi nasihat dan arah untuk suami tuju. Moga Allah membalas jasa baik beliau.
Beliau tidak perlu membeli jiwa rakyatnya dengan wang ringgit, cukup dengan semangat anak kampung beliau, sikap rendah diri, ilmu di dada dan cara pembawakan beliau ketika berdepan dengan masyarakat. Semua itu boleh dilihat selepas Barisan Nasional gagal dalam PRU-14 lalu. Rata-rata rakyatnya berasa sedih kerana Negeri Sembilan hilang sebutir permata berharga.
Namun, begitulah kancah politik. Semoga MB baharu Negeri Sembilan berpotensi menyambung kejayaan yang dibina Tok Mat pada masa depan.
Walaupun nombor dalam kad pengenalan saya bukan 05 tetapi sebagai penduduk negeri ini, sungguh saya amat terasa dengan kehilangan beliau dalam persada politik negeri ini. Apatah lagi sebagai orang biasa pasti saya akan merindui pertanyaan MB saat kami bertemu.
“Apa khabar orang Muar? Macam mana kerja? Keluarga sihat?” Takkan ada lagi kata-kata ini dan takkan ada lagi keseronokan anak-anak bila dapat berbuka puasa di rumah agam MB Negeri Sembilan dan beraya di rumah pusaka MB di Rantau. Semua itu akan jadi memori paling manis dalam hidup saya.
Tidak semua boleh saya ceritakan dan biarlah yang lain saya simpan dalam peti memori buat selamanya. Semoga MB yang digeruni dan disegani rakyat Negeri Sembilan ini diberkati dan dirahmati hidupnya dan keluarganya oleh Allah hingga akhirat kelak.
Semoga beliau terus menuai kejayaan di kawasan Rantau sebagai YB di sana. InshaaAllah setiap jasa yang pernah beliau taburkan akan dibalas oleh Allah.
Budi yang akan dikenang,
Alin Syukor
Seremban
10/Mei,2018.
Comments